Pages

Saturday, 29 October 2022

YA ALLAH.. KUATKAN AKU UNTUK URUSKAN JENAZAH EMAK

Kenangan Emak semasa En. suami
dan rombongan datang merisik tahun 2015
Dah lama cerita ini tersimpan rapi dalam draft blogku. Hari ni, dah 8 bulan lebih Emak tinggalkan kami semua.

Jadi hari ni, saya baca semula apa yang dah ditulis beberapa bulan lalu sebelum di publish.

Bismillahirahmanirahim.. Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah, Pengasih lagi Maha Penyayang, aku memulakan perkongsian kali ini dengan menggunakan kata ganti nama diri (Aku) kerna cerita nya banyak berkisar tentang diriku.

"Jom! kita sama-sama masuk ke dunia lampau aku untuk mengimbau kembali apa yang terjadi pada tanggal 14 Feb 2022.

Pagi tu seperti biasa, aku bersiap-siap masak sarapan pagi untuk keluarga besarku. Seingat aku juadah pagi hanya lah sekuali Mee Goreng basah. Dan sambal bilis untuk persediaan if suamiku nak makan nasi.

Al-maklumlah dia bekerja shift malam. Kadang lapar sebab lately asyik hujan je. Belum ku fikirkan nak masak apa untuk tengah hari nanti. Sebab seminggu dua ni selera orang di rumah ni macam pelik. Makanan selalu tak habis sehingga dibawa makan ke waktu yang lain. Maksudnya selagi tak habis makanan pagi tu, tengah hari, petang itu lah yang kitorang duk ulang makan.

Cuma suami dan anakku memang nak kena makan nasi walau cam mana pun. Itu yang ku sempat buat sambal bilis.

Selesai masak aku pun nak masuk ke bilik untuk bersiap-siap menyambut En.suami pulang dari kerja sambil buat bisnes Shakleeku. Masa aku nak keluar dari ruang dapur, aku sempat selisih dengan Emakku yang sedang menuruni anak tangga untuk ke ruang tamu.

Emakku masih bertelekung solat warna (aku lupa hijau ke ungu), dan tasbih di tangannya. Aku tak bertegur sapa pun. Aku tergesa-gesa nak masuk ke bilik. Tapi aku sempatlah melihat senyuman Emak yang paling lebar, paling manis pagi tu. Sekitar jam 8 lebih rasanya.

Memang menjadi rutin pagi Emak akan turun ke ruang tamu, duduk di sofa sambil habiskan bacaan zikir, solawatnya. So, aku tak de merasa apa-apa yang pelik. Sungguh! aku tak sangka itu senyuman dan pandangan mata kami yang terakhir.

Bila difikir-fikirkan balik, rupanya itu senyuman selamat tinggal Emak buatku. Emak seolah-olah happy dan bersedia untuk kembali kepadaNya. Aku dan adik-adik je yang tak aware."

Ok, aku sambung story.

"Jam 10 lebih suamiku balik dari tempat kerja. Kiranya agak lewat dari biasa. Normally jam 9 dah sampai rumah. Rupanya dia ada urusan sikit, sebab tu balik lewat. Aku risau, kalau dia shift malam tapi balik lewat. Aku taw dia tak cukup tidur sebab berjaga malam. Jadi aku mulalah risau kalau terjadi apa-apa.

Alhamdulillah, suamiku selamat. Cuma dia keletihan dan mengantuk. Jadi dia nak tidur, dia dah makan sebelum bergerak balik.

Dalam jam 10.30 pagi (lebih-lebih sikit) ; adik kembarku si kakak (Siti Khadijah) ketuk pintu bilik sambil menangis. Masa tu suamiku dah lelap dalam 10 minit cam tu, aku pulak tengah edit video marketing (Klik di sini untuk lihat hasilnya). Aku terkejut, kenapa adikku menangis sebab aku dengar tak jelas apa yang dia sebutkan. Dia menangis teruk sangat.

Dia cakap.. "Sa.. Emak tak dok (bahasa Terengganu bermaksud tiada/ tak de) dah." 

Aku? Bertanya balik : "Tak dok? Tak dok apa kakak?"

Adikku ulang dan menangis lagi kuat. "Emak tak dok dah!" Tersekat-sekat suaranya tak mampu nak luahkan.

Masa tu aku macam tak percaya. Betul ke ni? Ke dorang sengaja main-mainkan aku. Lantas aku keluar bilik.. naik ke tingkat atas, masuk ke bilik Emak. Aku melihat adik-adikku semua dah menangis. Emakku di pangkuan abangku yang kedua (Aku panggil Abang Din). Aku macam tak percaya. Aku bertanya kepada abangku yang nampak masih terkejut duk pangku Emak di ribanya: "Betul ke Din? Emak tak dok dah?" Aku tak percaya dan mengharapkan Emakku pengsan je.

Sungguh! aku terkejut tapi aku tak menangis sebab tiba-tiba datang satu warning. "Sakinah.. ko tak boleh menangis. Tak baik meratap, meraung. Kecian Jenazah, terseksa dia tengok ahli keluarganya menangis. Sekarang, ko kena segerakan pengurusan Jenazah Emak ko. Tak baik lengah-lengahkan. Ko ingat balik. Masa Emak Mertua ko masih ada dulu. Dia selalu berpesan. Kalau kita mati, waris kena segerakan tak baik tangguh-tangguh. Tak payah tunggu anak-anak yang jauh. Segerakan terus."

Aku bertanya kepada Abangku. "Nak buat apa ni? Nak kena bawak Emak ke hospital ke (Dalam kepala masih duk fikir masih ada harapan kalau bawak ke hospital. Emak bukan mati. Emak pengsan je). Persoalanku tiada jawapan balas sebab masing-masing terkejut. Aku bertanya adik-adikku. "Dah call Abang Ri, Abang Ri dah taw belum? Abang Hin? Abang Zuhairi, Abang Qusyairi."

Dorang cakap dah. Cuma adikku dua orang tak dapat dihubungi. Dorang di tempat kerja. Masa kerja memang dorang tak tengok telefon. Allahuakhbar! sakitnya sebuah kehilangan. Tak taw bagaimana reaksi adik-adikku bila dapat taw Emak kami dah tak de. Aku kejutkan adikku (Humaidi) yang masih tidur sebab dia kerja shift malam jugak tadi. Semua terkejut!

1001 rasa saat ini. Dengan hujan lebat mencurah-curahnya.

Ini postingku pada hari tersebut di facebook selepas waktu Asar.

Aku turun ke bawah, masuk ke bilik. Dan kejutkan suamiku pulak. Kecian dia. Terpinga-pinga mamai tak cukup tidur dikejutkan untuk ku khabarkan tentang kematian Emak. Memang terkejut betul dia. Anakku pun sama. Terdiam tak kata apa-apa. Dia seolah-olah faham yang Neneknya telah pergi tinggalkan dia.

Biasa dia lah yang hari-hari akan naik ke tingkat atas cari Nenek. Duk panggil-panggil Nenek. Duk bergaduh dengan Nenek. Duk urut Nenek bila Nenek kurang sihat dengan Adik-adik Kembarku.

Aku buntu tak taw nak buat apa. Apa yang aku taw kena bawak turun jenazah Emak ke bawah. Sebab risau nanti jasadnya mengeras susah nak uruskan. Aku minta suamiku bantu apa yang perlu.Sebab masing-masing tengah terkejut. Suamiku lah harapan dan kekuatan.

Suamiku call Emak Saudara kami untuk maklumkan. Dorang pun terkejut. Sementara nak tunggu Emak Saudara datang, aku siapkan tempat untuk jenazah Emak dengan Kakak Ipar dan Adik perempuanku. Memang blur blur tapi aku kena berpijak di bumi yang nyata, aku kena kuat. Aku tak boleh melayan perasaan sedih. Aku cuma taw nak segerakan je.

Sebaik Jenazah di bawa turun ke bawah, Emak Saudaraku sampai. Then, kitorang berbincang nak kena buat apa. Sebab ini pengalaman pertama kami. Aku bawak Emak Saudara cari orang mandikan Jenazah, Kain Kafan, Keranda, gali Kubur, Batu Nisan, Van Jenazah dan Daun Bidara. Manakala Abang Sulongku pulak segera pergi buat report di Klinik berdekatan dan Balai Polis serta ke tempat kerja Adikku (Qusyairi). Emak Saudaraku cakap, Penggali Kubur tak boleh nak menggali Liang selagi kami tak sahkan kematian.

Oooo.. begitu pulak. Hurmm..! katanya lagi sejak kes Covid memang macam tu. Alhamdulillah, Emak negative Covid. Syukur sangat dengan berita tu. Kalau tidak sakit kehilangan tu makin berganda-ganda jika Jenazah positive. Tak boleh urus, tak boleh peluk cium dan senang citer korang sendiri taw lah cam mana pengurusannya. 

Ok, Abang keduaku tunggu di rumah disamping jasad Emakku dengan adik-adik bacakan yassin. Suamiku pergi ke tempat kerja Adikku (Zuhairi) dan memaklumkan kepada jiran terdekat.

Hujan betul-betul lebat sekali sekala beserta angin. Semasa aku drive, memang agak terketar-ketar jugak nak melangkah. Tapi ku kuatkan semangat, kuatkan diri. Ini bakti akhirku untuk Emak. Aku tak boleh lemah, tak boleh menangis. Sebab aku taw, air mata adalah musuh utamaku. Air mata akan buatkan aku lemah. Satu apa perkerjaan pun tak boleh buat kalau ku duk menangis sama macam adik-adikku.

Ikutkan memang aku nak berada di samping Emak. Tapi, tanggungjawabku lagi besar. Ku perlu teruskan perjuangan melawan rasa hati.

Alhamdulillah, Allah permudahkan urusan kami. Walau ada cabaran-cabaran kecil, tapi semuanya mudah sangat. Di saat kami buntu tak taw nak ke mana Allah hadirkan orang yang baik-baik bantu kami. Di saat aku tiada duit cash di tangan untuk beli Batu Nisan, aku tak bawak beg duit masa keluar rumah, Allah hadirkan rezeki orang kampung sempat kirimkan wang untuk Emak kepada Emak Saudaraku untuk mudahkan urusan perjalanan terakhir Emak.

Sungguh! kematian Emak ni banyak menginsafkanku. Korang boleh tonton di sini Kematian Emak Yang Menginsafkanku.

Ikutkan Emak Saudaraku pun tak tahu sangat. Tapi, dia bawak ku kepada rumah seorang Pak Cik ni. Aku lupa nama. Kiranya kawan Emak Saudaraku jugak. Pak Cik ni lah yang bantu. Dia tunjukkan arah, dia beritahu apa nak kena buat, apa nak kena get ready, duit penggali kubur, hadiah kain pelikat, tuala, duit untuk orang solat jenazah. Katanya biasa orang tak ambil, tapi kami kena prepare mana taw diperlukan.

Yang mana perlu beli, aku telefon mintak suamiku pi cari. Sungguh kecian suamiku meredah hujan naik motor. Sebab aku sempat tengok baju seluar suamiku memang basah kuyup.

Aku buntu masa tu. Mana nak cari duit. Mana nak cari envelope. Fikir-fikir balik macam tak logik. Ada ke patut tengah sedih-sedih fikir nak beri upah orang. Memang aku tak terfikir lah. Dan aku tertanya.. "Orang datang solat jenazah memang nak kena bayar ke Pak Cik?" Pelik kan. Bukan solat ni nak kena ikhlas. Kalau upah tu dah jadi lain. Kita pun tak paksa dorang datang solat. Tapi, kita tak tahu pengurusan masjid cam mana. (Aku tak tahu kat tempat korang cam mana).

Pak Cik tadi jawap : "Dorang tak minta bayar. tapi standby je lah. Kot-kot ada yang mintak."

Aku pun ikutkan je lah. Aku tanya lagi.. : "Berapa Pak Cik?"

"Standby lah RM250."

Aku.. "Senang je lah. Kalau saya bagi duit RM50 x 5 boleh?"

Pak Cik balas.. "Dok boleh. Kena buat RM5 sorang. Agak-agak dalam 50 keping."

Aku.. Allah! buntu. Mana nak cari duit RM5 sebanyak 50 keping. Giller ke apa? Aku hanya taw nak segerakan urusan Jenazah Emak. Bukan nak pi kedai atau Bank tukar duit RM5. Huhuhu.

Sambil drive sambil duk berfikir mana nak cari duit. Aku tanya Pak Cik tu lagi. "Selepas selesai kebumi Emak tak boleh ke Pak Cik?"

Pak Cik balas : "Biasa orang bagi sebagai saguhati masa selesai solat. Jadi kena ada jugak lah duit tu. Pak Cik beritahu ni untuk standby. Orang jarang ambil."

Aku dah lah serabut pasal duit RM5, kena masuk pulak ke jalan-jalan kampung dalam hujan lebat ni. Dah lah aku bukannya expert drive dalam hujan. Kalau Emak ada, Emak taw cam mana aku bila hujan. Memang slow sangat. Tambah kena masuk jalan-jalan kecil yang muat hanya satu kereta. Lagi lah aku cuak.

Then, aku ambil jalan mudah. Aku fikir.. Abang Sulongku di bandar uruskan report Emak. Aku mintak dia sediakan siap-siap. Aku call dan cerita apa yang perlu. Alhamdulillah.. Settle masalah.

Bila dah selesai semuanya, aku hantar Pak Cik tadi ke rumahnya semula. Terima kasih Allah, terima kasih Pak Cik. Ikutkan Pak Cik tadi, ada temujanji nak kena keluar. Tapi Allah tangguhkan urusan dia untuk bantu kami.

Jadi aku doakan yang baik-baik untuk Pak Cik dan keluarganya. Serius Pak Cik ni banyak bantu kami. Aku sebak sebab aku dah tak de Ayah. Jadi terasa Allah berikan aku kekuatan bila Allah pinjamkan Pak Cik ni dalam dua jam jugak lah untuk bantu aku.

Aku sampai di rumah dah nak masuk waktu Zohor. Kiranya sekejap sangat.

Sampai je kat rumah, saudara mara dah ramai. Aku kena menyapa mereka sekejap. Salam peluk cium. Masa tu tak fikir covid dah. Dorang yang menangis. Aku pulak yang kena tenangkan dorang. Terbalik pulak kan. Itu lah. Allah betul-betul beri aku kekuatan sampai aku tak sempat nak berada di samping Jenazah Emak.

Seusai bersalam, uruskan persiapan nak mandikan Jenazah.. Anakku pulak lapar. Nasib ada Nasi dan sambal Ikan Bilis. Aku layan dia sekejap. Pastu aku minta izin Emak Saudara nak solat Zohor dulu sebab dah masuk waktu. Nanti nak mandikan Emak. Risau terlepas waktu solat.

Alhamdulillah dengar je azan aku terus solat. Tak lama lepas tu, Mak Cik yang ketuai mandi Jenazah sampai. Jadi aku dan Adik-adik perempuanku bersiap untuk mandikan Emak. Itu lah masa singkat aku dengan Emak. Aku riba kepala Emak. Aku usap rambutnya, mukanya. Lembut sangat, putih bersih, wangi. Seperti bau syurga. Rupanya kami guna mandian buah tin untuk Emak. Memang wangi. Emak macam baby tengah tidur, baby baru dilahirkan.

Perlahan-lahan kami mandikan Emak. Inilah pengalaman pertama aku mandikan Jenazah. Aku, empat orang anak perempuan Emak, Abang sulongku, Emak Saudara (Adik Emak yang kami panggil Cik Ngah) dan dua orang Mak Cik yang mengetuai kami.

Bilik Air kat rumah kami tak besar. Jadi ni je yang muat-muat untuk masuk. Anak-anak Emak yang lain, usung Emak bawak masuk ke Bilik Air dan keluar untuk dikafankan. Kecuali adik lelakiku Solihin masih belum sampai. Dia dalam perjalanan dari Pengerang, Johor.

Seusai mandi dan kafankan Emak, aku antara orang terakhir cium Emak. Semua sekejap sangat. Aku tak sempat nak menangis. Aku sibuk call adik lelakiku Solihin, bertanya dia kat mana dah. Nak minta izin dia untuk segerakan kebumi Emak kalau lambat lagi.

Aku serba salah. Takut adikku marah. tak mengaku kakak dah lepas ni sebab tak tunggu dia. Tapi dalam masa yang sama aku masih berharap dia sempat cium dan tengok Emak buat kali terakhir. Jenazah akan dikebumikan selepas solat Asar. Sungguh aku risau.

Sepatutnya aku tak boleh telefon adikku. Sebab dia tengah drive seorang diri. Macam-macam boleh jadi. Betul. Adik aku accident, terbabas kereta langgar divider sebelum sampai ke rumah.

Alhamdulillah semua selamat. Cuma kereta je yang kemek bahagian tepi.

Korang taw? Macam-macam aku fikir sebagai seorang kakak. Aku ingat semula bagaimana Emakku meredhai Emaknya (Nenekku) dikebumikan tanpa menunggu ketibaan Emak ke kampung. Jadi aku mengharap adikku pun boleh buat perkara yang sama. Sebab tak nak melengah-lengahkan urusan Emak.

Papepun syukur.

Adikku sempat sampai ke rumah. Masa tu dorang dah bawak Jenazah Emak ke Masjid Kg. Pulau Manis untuk disolatkan. Bergegas dia naik motor untuk ke Masjid dan tinggalkan kereta kemek kat rumah. Aku pun terkejut masa dia beritahu accident.

Kami semua ke Masjid dan Tanah Perkuburan Makam Tok Ku Pulau Manis.

Hujan renyai-renyai mengiringi pemergian Emak. Tak tahu nak gambarkan bagaimana perasaan aku masa ni. Aku terasa kosong. Hilang segala harapan dan impian dibawa bersama-sama Emak. Terasa dunia sepi, terhenti sudah doa keramat seorang Ibu buat kami. Aku tak mampu menangis. Saudara-mara silih berganti datang memberi semangat dan kekuatan. Even dalam hujan dan di kubur pun. Mereka sanggup datang.

Aku gunakan peluang kedatangan mereka dengan memeluk kuat-kuat setiap orang tanpa fikir SOP Covid. Aku terasa kuat. Kuat sebab mereka pinjamkan aura ibu buatku.

Aku perlu kuat sebab kini akulah Ibu, akulah ayah kepada adik-adikku. Besar tanggungjawab dan amanahku. Allah, kepadaNya ku mohon kekuatan.

Alhamdulillah hujan berhenti seketika memberi laluan kami membawa Jenazah Emak ke Liang Lahad. Sebaik memulakan Talkin, hujan mula turun mencurah-curah. Sebak sangat ditambah Ustaz turut menangis semasa bacaan Talkin.

Abangku sempat bertanya kepada Ustaz kenapa menangis tadi? Rupanya, Ustaz dapat "melihat" pemergian Emak sangat mudah, baik, smooth, katanya lagi ilmu Emak tinggi. Dia tak setanding dengan Emak. Saya tak tahu lah ilmu yang bagaimana. Apa yang saya tahu semasa hayat Emak, Emak memang berusaha mendalami ilmu-ilmu agama. Dan saya dapat tahu dari kawan-kawan Emak, Emak sedang belajar memperbaiki dan memperbetulkan diri.

Ada banyak keajaiban dan perkara-perkara baik yang Allah tunjukkan kepada kami anak-anak Emak (ku nukilkan di sini dalam bentuk video supaya aku tidak pernah lupa). Semoga Emak kembali kepadaNya dalam Husnul Khatimah, dalam syaahadah. Itu yang Emak selalu berpesan kepada kami.

Selesai semua urusan dalam pukul 6.30 petang. Aku dan adik-adik bergegas balik ke rumah sebab ada yang belum solat Asar termasuk aku. Sampai je kat rumah ramai lagi saudara-mara datang. Tapi aku terpaksa minta diri untuk solat Asar terlebih dahulu.

Ipar duaiku dari Kuantan, jiran tetangga kat rumah lama kami pun ada yang sedang menunggu.

Malamnya kami buat tahlil secara tertutup sahaja dengan adik-beradik. Aku baru sedar yang tak makan pape dari siang tadi. Aku tak lapar. Aku tak de selera nak makan. Aku tengok adik-adik paksa diri, untuk menelan. Sedih korang, tapi aku tahan empangan air mata ni. 

Alhamdulillah, aku berterima kasih sangat-sangat kepada suamiku tolong tempah makanan siap-siap untuk kami. Aku pun tak terfikir bab makan. Lupa terus.

Adik-adikku masuk tidur dengan dunia dan rasa masing-masing. Aku masuk bilik.. aku menangis puas-puas. Masa ni baru empangan air mataku pecah. Aku tak dapat tidur. Aku call kawan-kawan yang ada telefonku petang tadi. Aku menangis. Dorang beri kata-kata semangat kepadaku. Terima kasih, Effa, Husna dan Umi. Yang masih ingatkan aku. Dan juga kawan-kawan, kenalan yang mendoakan Emak aku. Ada ramai yang comment di FB aku. Tapi, aku tak mampu nak reply kesemuanya. Aku hanya mampu doakan yang baik-baik buat kalian.

Terima kasih juga buat mereka yang menyumbang kepada kami. Murah rezeki Emak. Ramai yang pemurah. Semoga Allah gandakan rezeki kalian dan dipermudahkan segala urusan kalian dunia akhirat.

Aku rasa cukup sampai sini dulu lah. Ini pun dah panjang sangat.

Maaf lah kalau korang rasa banyak sangat pengulangan perkataan yang sama. Aku hanya menulis apa yang aku lalui. Harap tiada rasa riak mahupun yang tidak baik. Selebihnya aku 


serah kepada Allah yang menilainya.

Mana tahu sedikit sebanyak ada manfaat yang korang peroleh dari kisahku ini.

Sesungguhnya setiap yang bernyawa pasti akan mati. Namun sebagai manusia normal, aku tak lari dari rasa sedih, duka, sakit untuk sebuah kehilangan ini.

Nasihat saya buat kalian yang membaca kisah ini, yang masih ada Emak Ayah, hargailah mereka. Bahagiakan lah mereka tanpa nanti. Tonton lah video di bawah ini."


Pesanan buat kalian yang masih ada kedua Ibu Bapa. Tonton di sini, at my TikTok.

No comments:

Post a Comment