Saturday 11 June 2016

DOA MENUSUK KALBU DI BULAN RAMADHAN

Assalamualaikum wbt..

Hari ini, saya nak berkongsi satu doa yang saya dapat dari sahabat muka buku saya. Dan terasa lebih baik sekiranya saya tulis di sini untuk dikongsi bersama.

Terima kasih, kepada pemilik doa.

Doa selepas Tarawih yang menusuk kalbu.

Selepas solat Witir tadi, imam membacakan doa dalam Bahasa Melayu. Memang amat jarang sekali kita dengar imam baca doa dalam Bahasa Melayu. Amat tersentuh, menitis air mata apabila imam membacakan doa.

Sewaktu moreh saya tanya imam, ambil mana doa tadi, JAKIM ke, Majlis Agama ke fikir saya dalam hati? Dia kata dia buat sendiri. Lalu saya minta dia hantarkan doa tersebut untuk tatapan kita, semua.

MUNAJAT RAMADHAN

"Ya Allah…Ya Rahman…Ya Rahim…

Dalam dakapan Ramadhan yang suci ini, Dengan rasa rendah diri, Kami yang kerdil dan hina ini memohon doa dengan penuh pengharapan kepadaMu Ya Allah… Semoga Engkau sudi mendengar permintaan kami, kerana sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Maha Mendengar.

Ya Fattahu Ya 'alim…

Ajarkanlah kami yang lemah ini untuk melihat jalan keluar dari semua masalah yang membelenggu kami, bukakanlah hijab kepada kami yang tak mampu melihat setiap kebaikan pada kejadian dan takdirmu.

Ya Allah.. takdirkanlah yang baik-baik untuk diri kami, Janganlah kau menguji kami pada apa yang tidak mampu kami lalui.. Bukakanlah pintu-pintu rahmatMu untuk kami Ya Allah…

Ya Allah Rabbul Jalil….

Sejahterakanlah untuk kami dengan kesihatan yang baik.. supaya dengannya kami dapat beribadah kepadaMu. Ya Allah.. ampunkanlah segala dosa kami, kerana kami terlalu banyak dosa kepadaMu Ya Allah.

Kami lupa akan Engkau ketika sihat, kami ingat padaMu bila ditimpa sakit, Kami lupa kepadaMu ketika senang, kami ingat kepadaMu bila datang kesusahan. Kami lupa kepadaMu disaat kami gembira, Kami ingat kepadaMu ketika sedih dan kecewa, Kami habiskan usia muda dengan keseronokan dunia, kami mula mengingatiMu ketika usia sudah tua.

Justeru Ya Allah... ampunilah semua dosa kami.. berilah kekuatan kepada kami untuk melawan hawa nafsu dan dunia yang sentiasa melalaikan kami dari mengingatimu Ya Allah…

Ya Allah…Ya Rahman..Ya Rahim...

Ampunkanlah dosa kedua ibubapa kami,. setiap titik susu ibu yang mgalir dalam diri kami... kau gantilah dengan kebajikan untuknya yang boleh membawanya ke syurgaMu.

Ya Allah...Ya Rahman... pada setiap keringat yang mengalir pada tubuh ayah kami dalam mencari rezeki kepada keluarga kami. kau gantikanlah dengan keampunan yang membawa ke syurgaMu Ya Allah.

Sesungguhnya pengorbanan mereka tidak akan mampu kami membalasnya. Bahkan terkadang mereka hidup dalam kesusahan dan kesempitan, sedangkan kami berada dalam kesenangan dan kemewahan.

Justeru kurniakanlah kepada kedua ibubapa kami tempat yang istimewa di syurgaMu Ya Allah…..

Ya Allah….

Kami juga memohon ampun untuk kaum kerabat kami, sahabat-sahabat kami dan guru-guru kami yang terlebih dahulu pergi meninggalkan kami ke alam barzakh… golongkanlah mereka dalam golongan orang-orang yang Engkau redhai… apabila tiba pula giliran kami menuju barzakhMU.. maka Kau ambillah kami dalam keadaan yang baik-baik… dalam keampunan dan rahmatMu Ya Allah…

Ya Allah Ya Azizz…

Kurniakanlah kepada kami jiwa yang tenang dan tenteram… hiasilah hati kami dengan sifat syukur, redha, sabar, ikhlas, amanah dan bertanggungjawab… Kau jauhkanlah daripada kami sifat ujub, riak, takabbur, fitnah, mengadu domba, sangka buruk dan khianah.

Ya Rashid…Ya Rahman…Ya Rahim..

Jika ada dikalangan kami mereka yang diuji dengan kesusahan, maka kau bantulah mereka, permudahkanlah urusan mereka, jika ada di kalangan kami mereka yang bersedih hati, berikanlah ketenangan dan jalan keluar kepada mereka, jika ada di kalangan kami sedang berhajat dengan keperluannya, maka tunaikanlah hajat mereka, dan cukupkanlah keperluan mereka, jika ada di kalangan kami mereka yang diuji dengan sakit, maka kau sembuhkanlah mereka Ya Allah… agar dapat beribadah bersama kami. Jika ada dikalangan kami mereka yang derhaka kepada ibubapa atau terkurang dalam melayani mereka, maka kau ampunilah mereka, jadikanlah kami anak-anak yang taat dan berbakti..

Sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Maha Mendengar dan Mengasihi…

Ya Allah Ya Malikal Mulk…

Ya Razak..Ya Fattahu Ya 'Alim…

Kurniakan kepada kami rezeki yang halal lagi diberkati dan jadikanlah dengan rezeki itu kami semakin dekat denganMu.. sebaliknya, janganlah kau jadikan kami daripada golongan yang lupa diri setelah mendapat kurniaannMu.

Ya Allah….

Bantukanlah kami dalam menjalankan urusan agama kami, Elokkanlah urusan dunia kami, yang padanya tempat kami mencari kehidupan, Elokkanlah urusan akhirat kami, yang padanya tempat kami akan kembali untuk selama-lamanya.. jadikanlah kehidupan kami ini sebagai tambahan segala kebaikan kepada kami, dan jadikanlah kematian sebagai ketenangan kepada kami dari segala kejahatan, Sesungguhnya kami ingin kembali kepadaMu dengan jiwa yang tenang….

Ya Allah Ya Zal Jalali Wal Ikram…

Ya Allah….Janganlah kau jadikan ramadhan ini sebagai yang terakhir buat kami, temukanlah kami dengan Ramadhan yang akan datang…

Tapi, Andai ini Ramadhan terakhir buat kami, jadikankanlah puasa kami sebagai puasa yang Kau rahmati, jadikanlah ramadhan ini paling bererti, penuh dengan cahaya iman, menerangi kegelapan hati kami menuju redha serta kasih sayangMu ya Allah… jadikanlah ramadhan ini sebagai penghapus dosa-dosa kami.. Ya Allah… temukanlah kami dengan Lailatul Qadar…pilihlah kami dikalangan hambaMu yang dapat beramal di malam Al-Qadar… Ya Allah.. terimalah amalan kami.. terimalah taubat kami.. ampunkanlah segala dosa kami... amankanlah kehidupan kami disana nanti yang kekal abadi… kurniakanlah kepada kami syurgaMu Yang Maha Luas nikmatnya…

Aamiin Ya Rabbal'aalamiin."

Cukup terkesan di hati.

Jom! sama-sama kita kongsikan doa ini kepada saudara-mara dan rakan-rakan kita di luar sana. Semoga ia memberi manfaat dunia dan akhirat. Terima Kasih kepada pemilik doa ini.

Sekian, wassalam.
Salam Sayang, Salam Bahagia.


"Think Positive & Keep Smiling, Home Sweet Home."
Ingin menjana pendapatan 3, 4, 5 angka sebulan dengan hanya duduk di rumah? 
Hubungi Cinta Hati SMS
019-916 4276 [ Call, SMS, WhatsApp, Telegram ]
sakinahmatsaid@gmail.com

No comments:

Post a Comment